KUALA LUMPUR – Seramai 1,832 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berserta pasangan terlibat dengan undi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, di Markas Briged Tengah PGA Cheras, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, angka tersebut melibatkan 1,031 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan.
Katanya, baki daripada jumlah itu pula mewakili anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) seramai 801 anggota.
“Perjalanan (buang undi) pagi ini alhamdulillah, berjalan dengan lancar.
“Apa yang saya lihat suasananya aman dan terkawal, kita tengok pukul 8 pagi sudah penuh anggota yang mengundi, dijangkakan pukul 12 tengah hari dijangka akan selesai” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat pengundian awal di Dewan Kompleks Perdana Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Cheras, di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau tiba di Markas Briged Tengah PGA Cheras pada pukul 7.45 pagi diiringi Komander PGA Briged Tengah Cheras, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit sebelum meninjau pusat pengundian, di sini.
Ayob Khan kemudiannya disambut Komander FRU, Senior Asisten Komisioner, Mohd Said Ibrahim sebelum berangkat ke Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam pada pukul 9 pagi tadi bagi meninjau proses pengundian di sana.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati sekali lagi kepada semua anggota agar keluar menunaikan tanggungjawab dengan mengundi awal, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 47,728 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasangan dijangka akan terlibat mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, sebanyak 260 tempat mengundi dengan 377 saluran mengundi telah diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pusat pengundian awal.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kesemua anggota proses demokrasi dengan menjalankan tanggungjawab untuk mengundi. – KOSMO! ONLINE
The post 1,832 warga PGA, FRU tunai tanggungjawab undi awal appeared first on Kosmo Digital.