BAGAN SERAI: Seramai 15 orang diperlukan untuk menumbangkan seekor lembu baka import yang beratnya hampir satu tan metrik pada program ibadah korban sempena AidilAdha di Kampung Parit Haji Ali di sini hari ini.
Lembu jantan berwarna hitam itu merupakan antara 10 ekor lembu yang dikorbankan pada hari pertama hari raya AidilAdha yang disambut hari ini.
Lembu yang berharga RM20,000 itu merupakan sumbangan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol mengambil masa hampir 10 minit untuk ditumbangkan.
Lebih 300 orang penduduk dari Kampung Parit Haji Ali, Parit Air Itam dan Parit Mentara kemudiannya bergotong royong melapah daging lembu-lembu korban itu sebelum diagihkan kepada penduduk kampung di kawasan itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, kerajaan negeri mengeluarkan lebih 7,000 permit untuk pelaksanaan program ibadah korban di seluruh negeri.
Menurutnya, permit untuk melaksanakan ibadah korban dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar Perak bagi membolehkan ibadah korban dapat dijalankan pada tahun ini.
“Lembu untuk ibadah korban bebas daripada sebarang jenis penyakit.
“Setakat ini Jabatan Veterinar negeri tidak menerima sebarang aduan tentang penyakit yang menular terhadap binatang ternakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menghadiri program ibadah korban di Kampung Parit Haji Ali di sini hari ini.
Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, Pusat Khidmat beliau telah menyumbangkan sebanyak 30 ekor lembu korban untuk kawasan DUN Gunung Semanggol pada tahun ini.
“Lembu untuk korban kita agih-agihkan kepada kampung-kampung yang terdapat dalam kawasan DUN ini.
“Setelah melaksanakan ibadah korban, daging korban diagihkan kepada penduduk kampung-kampung tersebut,” katanya. – UTUSAN
The post 15 orang tumbangkan lembu korban 1 tan appeared first on Utusan Digital.